Sunday, July 29, 2012

Kalimah Syahadah


Mengucapkan dua kalimah syahadah bermaksud kesaksian terhadap dua perkara. Pertama, hanya Allah SWT sahajalah Tuhan yang wajib disembah dan ditaati. Kedua, mengakui setulusnya bahawa Muhammad SAW sebagai nabi dan rasul yang dibangkitkan Allah SWT kepada kita.
Namun, tidaklah cukup jika kita sekadar mengucapkan dua kalimah syahadah ini, jika tidak memahami maksud dan tuntutan di sebalik pengucapannya. Bandingannya samalah seperti sighah (ijab dan kabul) semasa akad nikah dalam perkahwinan. Ucapan yang dilafaz itu, menatijahkan suatu tanggungjawab maha berat bagi sepasang suami dan isteri.

Pesan Rasulullah SAW: “Daripada ‘Itban bin Malik r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Tiada seorang pun yang mempersaksikan bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan sesungguhnya aku adalah utusan Allah lalu ia masuk neraka ataupun neraka membakarnya.” (al-Bukhari dan Muslim)

Hadis di atas menjelaskan, mereka yang mengucapkan dua kalimah syahadah dengan penuh kefahaman dan ketulusan, maka ia dapat menyelamatkan mereka daripada bakaran api neraka. Sebaliknya, mereka yang berpura-pura sahajalah, yang akan menjadi bakaran neraka Allah, wal’iyazubillah!

Ucapan syahadah bukanlah ucapan biasa, ia disertai dengan tiga perkara yang akan menjadi pembeza iman dan kufur, iaitu:
  1. Dikrarkan dengan lidah
  2. Ditasdikkan (diakui) dengan hati
  3. Dibuktikan dengan amal

Saturday, July 28, 2012

Rukun Islam

Menyembah dan mengabdikan diri kepada Allah melalui seluruh kehidupan kita, jiwa raga kita dan harta milik kita sehingga tertegaknya keislaman yang sempurna.
  1. MENGUCAP DUA KALIMAH SYAHADAH
    “Aku naik saksi bahawa tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan Nabi Muhamad itu adalah pesuruhnya ” Dengan Syahadatain, iaitu, kita mengabdikan diri dengan hati sanubari dan dengan pengakuan lidah kita bahawa Tuhan yang Maha Esa itu adalah Allah s. w. t. dan Nabi Muhamad s. a. w. itu adalah pesuruhnya.
  2. SOLAT LIMA WAKTU SEHARI SEMALAM
    Solat adalah ibadat fardu yang wajib dilakukan oleh orang Islam lima kali sehari. Solat lima waktu ini dikenali sebagai solat Fardu atau solat yang wajib dilakukan.
  3. BERPUASA PADA BULAN RAMADHAN
    Menahan nafsu makan dan minum serta menjauhi segala laranganNya. Akankn melahirkan rasa keinsafan di dalam keperibadian kita serta meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s. w. t.
  4. MENGELUARKAN ZAKAT
    Menyerahkan sebahagian harta milik kita kepada mereka yang berhak menerimanya mengikut agama.
  5. MENGERJAKAN HAJI
    Kepada mereka yang mampu. Dengan mengerjakan Haji, kita menyembah Allah dengan harta kekayaan milik kita, dan mengunjungi ke Baitullah bagi mereka yang berkemampuan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Friday, July 27, 2012

Khutbah Terakhir Rasulullah

Wahai Manusia,dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.
Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan diatas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dan dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikuti nya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak keatas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik, berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kata ku ini, Sembahlah Allah, Dirikanlah solat lima kali sehari, Berpuasalah di Bulam Ramadan dan Tunaikanlah Zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadat Haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah bersaudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal soleh.

Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu Awasilah agar jangan sekali-kali terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesumgguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dari ku. Saksikanlah Ya Allah bahawasanya telah aku sampaikan risalah Mu kepada hamba-hamba mu.

(Khutbah ini disampaikan oleh Rasullah s.a.w pada 9hb Zulhijjah Tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah,Gunung Arafah.)